Khamis, 11 September 2008

VISA.. kenapa kau dilahirkan?

Rupanye proses membuat visa juga boleh dikategorikan dalam perkara yang agak menyusahkan hidup aku. Kemungkinan kesimpulan itu yang paling bertepatan untuk ku katakan, yakni setelah beberapa lama menadah usaha, namun pada hari aku ke KL untuk membuat permohonan visa, sedikit aku diberi ujian (atau pun kifarah atas dosa ku.. astaghfirullah) yang mana beberapa perkara dalam permohonan visa aku tidak seperti yang aku andaikan sebelumnya. Dan kesudahannya seperti biasa, pulanglah aku semula ke kediaman (agak jauh juga perjalanan) untuk membuat pembetulan.
.
Mungkin aku boleh memulakan ceritanya begini. Rasanye sejak sebulan lepas aku sudah mula mencari maklumat tantang bagaimana sepatutnya visa ke UK itu dipohon melalui British Council. Melalui senior, aku dah tanyekan, melalui laman web juga telah ku telaahkan, tak kurang juga maklumat2 sampingan dalam blog insan2 yg turut menceritakan pengalaman mereka membuat visa.. namun yang pasti, caranya jelas berbeza dari setahun ke setahun. Itu belum lagi diambilkira tentang kes2 yg berbeza.. bujang, berkeluarga, bidang kursus, rumah sewa sendiri, kolej, tajaan peribadi atau sponsor kerajaan, dsb. Dan kini tiba giliran ku pada tahun ini utk ku selesaikan urusan visa ku yang tidak ku sangkal pasti caranya sudah pun berbeza dari bacaan literatur yang aku buat itu.
.
Aku pasti, memang cukup banyak masa aku korbankan untuk memperolehi kejituan maklumat tentang cara permohonan visa ke UK. Segala borang yang berkaitan, ku cetak awal, dan aku buat simulasi mengisi borang, kemudian aku tuliskan semua borang2 termasuk untuk isteri dan anak ku, aku sediakan dokumen2 yg berkaitan.. kesemua itu aku sanggup lakukan kerna aku mahukan tiada kesilapan pada hari aku menghantar permohonan visa.
.
Tetapi takdir tuhan memang telah lama tercatat di Luh Mahfuz, dan aku insaf tentang perkara itu. Aku bergerak agak lewat pagi pada hari yang telah aku tekad untuk membuat visa, untuk mengelak kesesakan jalan disebabkan waktu permulaan kerja antara 7-9 pagi. Sesampai di KL, jalan agak tepu dengan kenderaan, tetapi alhamdulillah aku sampai juga di Wisma MCA yang mana terletaknya Visa Application Center di dalamnya, lebih kurang jam 10.30 pagi.
.
Untuk mencari parking sahaja sudah cukup memakan masa kerna banyak kenderaan yang telah menempah tempat lebih awal. Sesudah ku temui perking, aku sekeluarga terus melulu ke lift yang berhampiran untuk membawa diri ke tingkat 19. Agak lama menunggu, datang seorang guard mengatakan lift ada gangguan, dan akan lambat turun.. mungkin itu dugaan. Tidak lama kemudian, lift terbuka dan aku sampai ke tingkat 19 tempat seperti yang tercatat di dalam laman web tentang cara membuat visa UK. Kelihatan agak ramai orang, dan aku mula beratur. Datang seorang guard lagi memberitahu, pada sesiapa yang belum disemak akan dokumen2nya, sila ke tingkat 3.
.
Segerombolan insan yang senasib dengan ku terus melulu ke lift dan turun ke tingkat 3. Sampai sahaja di sana, kelihatan ramai orang dan aku terus mengambil nombor dari salah seorang guard yang menunggu di hadapan pintu, nah nombor yang diberikan agak jauh.. 2113. Tetapi sekarang baru mencecah 2059. Aku pun memulakan penungguan.. tiba2 ada pula kenalan isteri ku, lalu ditegur. Sempat juga aku bertanya tentang dokumen2, dan secara tidak langsung dapat menyemak apa yg perlu. Astaghfirullah..rupanya pembayaran perlu dibuat dalam bentuk bank deraf atau bank cek.. aku fikirkan dalam bentuk tunai.. aku pun kelam kabut mencari bank yang berhampiran. Alhamdulillah urusan itu selesai dengan sedikit masa.
.
Kemudian dalam aku menanti, tiba2 di kaunter kedengaran suatu pengumuman agar menyemak beberapa perkara terutamanya gambar. Lalu aku kehadapan untuk mendapatkan sedikit kepastian. Agak kecewanya aku, dalam penantian yang hampir ke waktu zohor itu, tiba2 agen visa tersebut berkata, dokumen yang aku pakai itu sama sekali sudah tidak dipakai bagi tujuan permohonan visa pelajar ke UK, kerna sekarang, maklumat perlu diisi secara online. Apa yang harus aku katakan? Namun istei aku masih memberi semangat untuk mencari capaian internet di mana2 tempat berhampiran. Aku pun berjalan ke arah Wisma Central, tanyakan pada orang2 disitu, kata mereka di KLCC yang tidak berapa jauh, pasti ada cyber cafe yg aku maksudkan. Tetapi ku lihat jam, sudah kelewatan 1.30 ptg. Untuk mengisi online, 3 orang termasuk aku, mencetak, dan mengambil kira waktu operasi Visa Center yang hanya sampai jam 3 ptg, lalu dengan berat hatinya aku berkeputusan untuk pulang dan kembali ke sini pada esoknya.
.
Memang benar jangkaan ku. Sejak petang tu, aku mulakan permohonan online di laman visa4UK di rumah kediaman yang menggunakan streamyx sebagai talian internetnya. Prosesnya sangat memakan masa. Kemungkinan disebabkan sistem tersebut sedang dilayari oleh ramai pengguna. Atau pun mungkin talian internet di kediaman ku itu kurang memuaskan. Nah, penangan visa.. aku habis mengisi borang jam 3.30 pagi. Itu pun sudah terlelap beberapa ketika. Pagi sebelum aku ke KL semula, aku sempat membuat semakan. Terdapat beberapa kesalahan dalam pengisian borang. Tetapi mungkin darjah kepedulikan aku sudah mulai jatuh, lalu aku terus melulu ke KL awal pagi dan menghantar semua borang dan dokumen pada tengahari tersebut. Alhamdulillah aku berjaya dalam proses penghantaran, dan keputusannya masih lagi dalam penantian..

Selasa, 26 Ogos 2008

Alhamdulillah permohonan ku berjaya!!

Alhamdulillah!! Sujud syukur aku hamba yang kerdil ini dihadapan yang Maha Besar..
.
Hari ini aku berjaya memastikan suatu yang sudah lama dalam kesamaran yakni aku baru perolehi tawaran 'Unconditional' dari Universiti di mana aku akan memijakkan kaki ku. Tapi aku yakin, bagi sesiapa yang tidak melaluinya justeru memahaminya, tidak akan dapat rasa kegembiraan dan keharuan sepertimana apa yang terjamah oleh perasaan aku di saat ini. Namun begitu, aku pasti cuba sedaya upaya berkongsi agar semuaa yang membaca, menjiwai apa yang ku alami ini.
.
Aku dari dahulu sentiasa menghitung hari, walaupun semakin hampir dengan tarikh keramat 4 Oktober 2008, seperti yang tercatat dalam Surat Tawaran Bersyarat dari IC suatu waktu yang terdahulu, yakni tarikh aku perlu mendaftarkan diri sebagai seorang pengaji PhD di sana, namun tiadalah rasa benar2 aku akan berangkat ke UK tidak lama lagi. Aku dipukuli dengan pelbagai prasangka liar yang menjadikan aku lemah dalam menarik keyakinan yang aku mampu lakukan.
.
Aku ingat lagi pada ketika itu, jam 8.09 malam pada 2 April 2008, aku didatangi dengan satu emel yang mengatakan aku layak untuk menyambung PhD tetapi perlu menyelesaikan beberapa perkara. Sesetengah dari syarat yang dilampirkan, pada aku, mudah untuk diselesaikan kerana melibatkan urusan2 pengesahan dokumen dsb. Namun ada juga beberapa perkara yang baru, yang mana ramai antara senior ku tidak punyai pengalaman untuk dijelaskan. Salah satunya ATAS (Academic Technology Approval Scheme). Mereka yang akan melanjutkan pelajaran ke UK selepas 2007 dikehendaki memiliki sijil pengesahan dari ATAS melalui laman webnya www.fco.gov.uk/atas (aku tak pasti sama ada link ini masih wujud atau pun sebaliknya). Walaupun begitu, aku masih mampu mendapatkannya dan ternyata ianya mudah, hanya perlu memberi komitmen dalam mengisi permohonan secara online dan alhamdulillah keputusannya aku perolehi hanya 8 hari selepas itu.
.
Setelah aku selesaikan perkara yang ku anggap remeh, aku pergi pula perkara yang agak berat yakni mendapatkan tajaan dari Kementerian pengajian Tinggi (KPT). Dengan kedengaran keluhan dari senior2, aku faham perkara ini agak sukar untuk aku garap, namun aku tekad mengusir putus asa ku jauh dari dalam diri. Bermula dengan pengisian borang dan penyediaan dokumen berkaitan, dan sampai seruan untuk menghadiri temuramah bersama pihak atasan, lalu dibawa segala permohonan ke mesyuarat KPT yang agak memakan masa sehingga penghujung Mei, dan alhamdulillah aku diterima sebagai calon untuk diperuntukkan biasiswa tajaan KPT (terima kasih ku jua kepada KPT). Namun rancangan tergendala apabila KPT perlu ditunjukkan dengan surat tawaran 'Unconditional' sebelum diteruskan untuk tawaran biasiswa tersebut.
.
Perkara itu yang aku dari awal fobia mendengarkannya. Kerana apa? Satu daripada syarat tawaran asalku ialah aku perlu menunjukkan kebolehan English ku melalui apa yang kukenali sebagai IELTS (International English Language Test System) sekurang2nya Band 6.5. Kebetulan pengalaman pertama aku bersama IELTS sudah tersemat dalam ingatan ketika aku melanjutkan pengajian Sarjana ku suatu ketika dahulu. Secara tidak langsung ia seolah2 mengkoreksi semula keupayaan English ku yang tak seberapa ini, lalu riak kerisauan mula mekar dalam hati ini. Apakah mungkin aku dapat lakukan kali ini? Sedangkan beberapa senior yang aku cuba menanyakan pengalaman masing2, kebanyakannya akui akan kesukaran mendapatkan Band 6.5. Aku tekad, memandangkan masa semakin suntuk, aku pergi jua mendaftarkan diri mengambil IELTS dengan perasaan yang bergaul kerisauan. Hari2 aku sematkan keyakinan yang aku mampu lakukannya, sepertimana yang pernah aku buat dulu. Doa dan bertawakal memang itu manjadi senjata asas ku menempuh peperangan tersebut. Dan akhirnya, aku benar2 tak sangka, yang aku tewas.. hanya berjaya mendapatkan Band 6.0. Tak sama dengan cerita2 yang aku ditontonkan di TV yang mana dengan pelbagai usaha kononnya, di akhir cerita pastinya mereka akan berjaya.. terutamanya dalam slot Kisah Benar.
.
Nah, itulah dia penangannya. Maka robeklah sedikit harapan. Pada waktu ku terima keputusan IELTS, ia sudah pun melangkau bulan Ogos. Kalau aku cuba sekali lagi untuk mengambilnya, pasti dan pasti aku tidak berkesempatan untuk ke UK pada Oktober. Aku akur dengan takdir, dan alhamdulillah dalam diri ku masih ada rasa yakin bahawa ianya terjadi penuh dengan hikmah. Dengan rasa berat hati, aku hantarkan juga keputusan itu terus ke IC dengan sedikit rayuan namun bertimbun2 doa dan tawakal.
.
Alhamdulillah, alhamdulillah syukur ke hadrat Ilahi, memberi ku sedikit nikmat, yang membuat ku bertambah yakin dengan qada' dan qadar Mu, yakin dengan hikmah yang Kau janjikan. Pada tanggal 26 Ogos 2008, kau perolehi surat tawaran tanpa syarat dan aku terus hantarkan ke KPT dan kini bolehlah aku menjengah2 kepada subjek baru yakni permohonan visa ke UK. Moga dengan bantuan Ilahi, aku mampu menyelesaikan semua perkara dengan mudah dan bergelar calon PhD Imperial College pada 4 Oktober nanti.
Salam Perjuangan buat semua.

Isnin, 16 Jun 2008

Salam Pembukaan

Alhamdulillah, blog ini berjaya dilancarkan oleh tanganku yang mengklik dan disaksikan oleh mata yang melihat dan telinga yang mendengar (segala klikan yg dibuat).. namun aku tetap akur bahawa Allah jualah yang mengizinkan segalanya. Kalau ditanya apakah alasan ku membuka blog ini, tiadalah kenyataan yang sempurna untuk ku bahaskan, namun begitu blog ini sengaja aku selitkan.. di tengah2 kesibukan alam siber dengan kesesakan blog2 senior yang berpusu2 memenuhi ruang maya merentangi segala jalan gelombang internet, sebuah buku catatan yang (insyaAllah) akan ku muatkan dengan segala kisah kelangsungan aku bersama PhD ku, bermula dari saat ini sehingga ke suatu masa yang ku anggap masih relevan.

Dan mungkin jua ia merupakan suatu ruang dan peluang untuk aku belajar menulis, melangkah dari sebutan ABC kepada ejaan perkataan dan ku harap aku mampu untuk membuat ayat, kerana kelihatan seperti rakan2 yang sebaya dengan ku sudah pun pandai membuat karangan.. sedikit sebanyak melahirkan peraasaan cemburu untuk tidak membiarkan aku terkebelakang. Dan mungkin dari satu sudut yang lain, blog ini seolah2 merelakan dirinya untuk menjadi rakan mendengar segala keresahan, kegembiraan, kesedihan, kerisauan, keharuan.. yang akan aku bicarakan sepanjang hayatku menempuh PhD ku nanti. Atau mungkin jua ia merupakan suatu.. kalau mungkin aku boleh katakan sebagai 'hidayah' untuk aku laksanakan, yang dengannya berkemungkinan aku memperoleh kebaikan atau hikmah.

Maka dengan perasaan takut dan mengharap jualah aku panjatkan, moga penulisan ku ini sedikit sebanyak membantu ku dalam mengharungi perjalanan PhD ku nanti.. tetapi tidak pernah ku menyangkal bahawa yang lebih penting dari itu, sokongan isteri ku jualah merupakan kasih sayang yang tulen untuk aku pertahankan ketabahan agar ia tidak akan terkeluar dari landasan mahupun tercicir di mana2 nanti.
Salam Muhibbah buat semua..