Khamis, 11 September 2008

VISA.. kenapa kau dilahirkan?

Rupanye proses membuat visa juga boleh dikategorikan dalam perkara yang agak menyusahkan hidup aku. Kemungkinan kesimpulan itu yang paling bertepatan untuk ku katakan, yakni setelah beberapa lama menadah usaha, namun pada hari aku ke KL untuk membuat permohonan visa, sedikit aku diberi ujian (atau pun kifarah atas dosa ku.. astaghfirullah) yang mana beberapa perkara dalam permohonan visa aku tidak seperti yang aku andaikan sebelumnya. Dan kesudahannya seperti biasa, pulanglah aku semula ke kediaman (agak jauh juga perjalanan) untuk membuat pembetulan.
.
Mungkin aku boleh memulakan ceritanya begini. Rasanye sejak sebulan lepas aku sudah mula mencari maklumat tantang bagaimana sepatutnya visa ke UK itu dipohon melalui British Council. Melalui senior, aku dah tanyekan, melalui laman web juga telah ku telaahkan, tak kurang juga maklumat2 sampingan dalam blog insan2 yg turut menceritakan pengalaman mereka membuat visa.. namun yang pasti, caranya jelas berbeza dari setahun ke setahun. Itu belum lagi diambilkira tentang kes2 yg berbeza.. bujang, berkeluarga, bidang kursus, rumah sewa sendiri, kolej, tajaan peribadi atau sponsor kerajaan, dsb. Dan kini tiba giliran ku pada tahun ini utk ku selesaikan urusan visa ku yang tidak ku sangkal pasti caranya sudah pun berbeza dari bacaan literatur yang aku buat itu.
.
Aku pasti, memang cukup banyak masa aku korbankan untuk memperolehi kejituan maklumat tentang cara permohonan visa ke UK. Segala borang yang berkaitan, ku cetak awal, dan aku buat simulasi mengisi borang, kemudian aku tuliskan semua borang2 termasuk untuk isteri dan anak ku, aku sediakan dokumen2 yg berkaitan.. kesemua itu aku sanggup lakukan kerna aku mahukan tiada kesilapan pada hari aku menghantar permohonan visa.
.
Tetapi takdir tuhan memang telah lama tercatat di Luh Mahfuz, dan aku insaf tentang perkara itu. Aku bergerak agak lewat pagi pada hari yang telah aku tekad untuk membuat visa, untuk mengelak kesesakan jalan disebabkan waktu permulaan kerja antara 7-9 pagi. Sesampai di KL, jalan agak tepu dengan kenderaan, tetapi alhamdulillah aku sampai juga di Wisma MCA yang mana terletaknya Visa Application Center di dalamnya, lebih kurang jam 10.30 pagi.
.
Untuk mencari parking sahaja sudah cukup memakan masa kerna banyak kenderaan yang telah menempah tempat lebih awal. Sesudah ku temui perking, aku sekeluarga terus melulu ke lift yang berhampiran untuk membawa diri ke tingkat 19. Agak lama menunggu, datang seorang guard mengatakan lift ada gangguan, dan akan lambat turun.. mungkin itu dugaan. Tidak lama kemudian, lift terbuka dan aku sampai ke tingkat 19 tempat seperti yang tercatat di dalam laman web tentang cara membuat visa UK. Kelihatan agak ramai orang, dan aku mula beratur. Datang seorang guard lagi memberitahu, pada sesiapa yang belum disemak akan dokumen2nya, sila ke tingkat 3.
.
Segerombolan insan yang senasib dengan ku terus melulu ke lift dan turun ke tingkat 3. Sampai sahaja di sana, kelihatan ramai orang dan aku terus mengambil nombor dari salah seorang guard yang menunggu di hadapan pintu, nah nombor yang diberikan agak jauh.. 2113. Tetapi sekarang baru mencecah 2059. Aku pun memulakan penungguan.. tiba2 ada pula kenalan isteri ku, lalu ditegur. Sempat juga aku bertanya tentang dokumen2, dan secara tidak langsung dapat menyemak apa yg perlu. Astaghfirullah..rupanya pembayaran perlu dibuat dalam bentuk bank deraf atau bank cek.. aku fikirkan dalam bentuk tunai.. aku pun kelam kabut mencari bank yang berhampiran. Alhamdulillah urusan itu selesai dengan sedikit masa.
.
Kemudian dalam aku menanti, tiba2 di kaunter kedengaran suatu pengumuman agar menyemak beberapa perkara terutamanya gambar. Lalu aku kehadapan untuk mendapatkan sedikit kepastian. Agak kecewanya aku, dalam penantian yang hampir ke waktu zohor itu, tiba2 agen visa tersebut berkata, dokumen yang aku pakai itu sama sekali sudah tidak dipakai bagi tujuan permohonan visa pelajar ke UK, kerna sekarang, maklumat perlu diisi secara online. Apa yang harus aku katakan? Namun istei aku masih memberi semangat untuk mencari capaian internet di mana2 tempat berhampiran. Aku pun berjalan ke arah Wisma Central, tanyakan pada orang2 disitu, kata mereka di KLCC yang tidak berapa jauh, pasti ada cyber cafe yg aku maksudkan. Tetapi ku lihat jam, sudah kelewatan 1.30 ptg. Untuk mengisi online, 3 orang termasuk aku, mencetak, dan mengambil kira waktu operasi Visa Center yang hanya sampai jam 3 ptg, lalu dengan berat hatinya aku berkeputusan untuk pulang dan kembali ke sini pada esoknya.
.
Memang benar jangkaan ku. Sejak petang tu, aku mulakan permohonan online di laman visa4UK di rumah kediaman yang menggunakan streamyx sebagai talian internetnya. Prosesnya sangat memakan masa. Kemungkinan disebabkan sistem tersebut sedang dilayari oleh ramai pengguna. Atau pun mungkin talian internet di kediaman ku itu kurang memuaskan. Nah, penangan visa.. aku habis mengisi borang jam 3.30 pagi. Itu pun sudah terlelap beberapa ketika. Pagi sebelum aku ke KL semula, aku sempat membuat semakan. Terdapat beberapa kesalahan dalam pengisian borang. Tetapi mungkin darjah kepedulikan aku sudah mulai jatuh, lalu aku terus melulu ke KL awal pagi dan menghantar semua borang dan dokumen pada tengahari tersebut. Alhamdulillah aku berjaya dalam proses penghantaran, dan keputusannya masih lagi dalam penantian..